Kelebihan gelanggang sendiri gagal dimanfaatkan Mumbai City apabila mereka dikejutkan kelab Iran, Nassaji Mazandaran dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Aksi pertama Kumpulan D menyaksikan anak-anak buah Des Buckingham terpaksa beraksi di Kompleks Sukan Balewadi untuk sepanjang saingan ACL. Ini disebabkan stadium mereka, Mumbai Football Arena tidak sesuai digunakan untuk kejohanan berkenaan.
Biarpun beraksi di stadium alternatif, Mumbai City bukan pasukan calang-calang. Disebabkan kekuatan kewangan yang dimiliki, mereka diperkuatkan dengan bekas penyerang Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Jorge Diaz dan pemain sayap Scotland, Greg Stewart.
The Islanders berusaha mencari gol awal pada separuh masa pertama. Malangnya, usaha mereka banyak digagalkan barisan pertahanan Mazandaran Tigers diketuai penjaga gol Rashid Mazaheri.
Sebaliknya, Nassaji yang membuat kemunculan debut dalam ACL pula yang mendahului menerusi Ehsan Hosseini pada minit ke-37. Hosseini mudah melepasi kapten Rahul Bheke sebelum menewaskan penjaga gol tuan rumah, Phurba Lacenpa.
Bersambung pada babak kedua, tuan rumah makin ketinggalan. Penyerang baru mereka, Mohammad Reza Azadi menambah kelebihan Nassaji menerusi gol pada minit ke-62.
Perlawanan mula panas apabila terjahan keras pemain Mazandaran Tigers mengundang kemarahan pemain-pemain tuan rumah. Pertelagahan tercetus antara kedua-dua pasukan pada minit ke-65 apabila Diaz diterjah Vahid Mohammadzadeh.
Bekas penyerang JDT itu bernasib baik kerana dia dan pemain pertahanan Iran itu hanya dilayangkan kad kuning akibat pertelagahan tersebut.
Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini satu permulaan baik buat Nassaji memandangkan ini debut mereka dalam ACL musim ini.
Mazandaran Tigers bakal mengalu-alukan Neymar dan Al-Hilal untuk perlawanan ACL seterusnya pada awal pagi 4 Oktober. Manakala The Islanders berharap dapat bangkit bila menentang kelab Uzbekistan, Navbahor pada hari sama.