Kelab gergasi Arab Saudi, Al-Nassr terus menerajui Kumpulan E ACL apabila menundukkan kelab Qatar, Al-Duhail dalam aksi ketiga kumpulan awal pagi ini.
Al-Duhail turun dengan misi mengutip kemenangan pertama dalam ACL musim ini. Pasukan ini bukan saja diperkuatkan dengan kehadiran bekas pemain perancang Liverpool, Philippe Coutinho.
Malah, mereka turut mendapat sentuhan bekas jurulatih PSG dari Perancis, Christophe Galtier.
Jadi, tidak hairanlah di atas kertas, Al-Nassr perlu bekerja keras jika mahu meraih kemenangan ke atas lawan mereka hari ini.
Babak pertama menyaksikan Al-Alami memberi tekanan kepada pasukan pelawat untuk mendapatkan gol awal.
Hasilnya, mereka mendahului pada minit ke-25 menerusi Anderson Talisca selepas menerima hantaran ke belakang legenda Portugal, Cristiano Ronaldo. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Al-Duhail terus mengasak tuan rumah bagi mendapatkan gol penyamaan.
Bagaimanapun, mereka semakin ketinggalan apabila bekas rakan sepasukan Coutinho di Liverpool, Sadio Mane meledakkan gol kedua untuk Al-Nassr pada minit ke-56.
Ronaldo kemudiannya memukau penonton di Al-Awwal Park dengan melepaskan rembatan kencang yang menerjah penjuru atas jaring pada minit ke-60.
Al-Duhail kemudiannya merapatkan jurang dengan Al-Alami menerusi dua gol dalam tempoh empat minit.
Ismael Mohammad mengurangkan defisit kepada 3-1 menerusi gol pada minit ke-63. Ini disusuli gol Almoez Ali empat minit selepas itu.
Ronaldo kembali menggamatkan penyokong Al-Nassr dengan meledakkan gol keempat pada minit ke-81.
Belum sempat tuan rumah meraikan jaringan bekas penyerang Manchester United itu, Al-Duhail kembali merapatkan jurang menerusi Michael Olunga pada minit ke-85.
Kelab Qatar itu terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 4-3 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini memastikan Al-Nassr kekal menerajui Kumpulan E dengan sembilan mata.
Manakala Al-Duhail pula kekal di tempat ketiga dengan satu mata daripada tiga perlawanan ACL.