Advertisement
ACL: Urawa Reds Bergelut Ikat Wuhan Three Towns
ACL
MakanBola
ACL

Juara bertahan ACL, Urawa Reds bangkit daripada ketinggalan sebelum berjaya mengikat juara Liga Super China (CSL) musim lepas, Wuhan Three Towns dalam aksi pertama Kumpulan J ACL.

Urawa yang dibimbing Maciej Skorza berharap dapat mempertahankan kejuaraan ACL yang dimenangi pada musim lepas. Sementara Wuhan pula yang membuat kemunculan debut dalam kejohanan ingin mencipta kejutan terhadap juara ACL sebanyak tiga kali itu.

Dan itu yang terjadi dalam separuh masa pertama. Pada minit ke-10, Wuhan menceriakan penyokong mereka di Pusat Sukan Wuhan dengan gol Zhang Xiaobin.

Tersentak, Urawa cuba bangkit tetapi tuan rumah terus mendominasi lawan mereka itu. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada separuh masa kedua, Urawa memperkemas rentak permainan mereka. Hasilnya, penyerang berbisa Belanda, Bryan Linssen menyamakan kedudukan pada minit ke-55.

Begitupun, keceriaan penyokong pelawat tidak bertahan lama. Wuhan kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti selepas VAR mengesan kekasaran yang dilakukan pemain Urawa dalam kotak penalti.

Penyerang Brazil, Davidson da Luz Pereira tenang menyempurnakan penalti menewaskan penjaga gol pelawat, Shusaku Nishikawa pada minit ke-62.

10 minit masa tambahan memberi ruang buat Urawa bangkit mengejar. Dan hasilnya, Jose Kante memastikan keputusan 2-2 menerusi gol pada minit ke-94.

Bagi Urawa pula, keputusan ini sedikit sebanyak meredakan kepedihan berita yang diterima mereka semalam. Kelab itu dilarang daripada menyertai Emperor’s Cup musim depan selepas gagal mengawal masalah keganasan penyokong yang berlarutan selama beberapa tahun.