Kelab Liga Super China, Wuhan Three Towns melebarkan rekod kekalahan Hanoi FC dalam Kumpulan J ACL dengan mengalahkan pasukan itu 2-1.
Hanoi amat memerlukan kemenangan sekiranya mereka mahu mencerahkan peluang tipis layak ke pusingan 16 terbaik ACL.
Sementara Wuhan pula mahu merapatkan kedudukan dengan juara bertahan, Urawa Red Diamonds yang menduduki tangga kedua kumpulan.
Usaha mereka itu dibantu dengan tindakan pengadil melayangkan kad merah terhadap penyerang Cameroon, Joel Tagueu seawal minit keenam.
Bagaimanapun, tuan rumah perlu menunggu sehingga minit ke-45 untuk membuka jaringan menerusi Wei Shihao. Keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Wuhan terus meningkatkan tekanan ke atas The Purples. Begitupun, penjaga gol Hanoi, Quan Van Chuan terus kental menepis semua percubaan tuan rumah.
Pemain gantian dari Brazil, Marcao menggandakan kelebihan mereka pada minit ke-63 selepas masuk menggantikan Jiang Zhipeng.
Hanoi yang terdesak memasukkan beberapa pemain termasuk bekas penyerang Selangor FC, Herlison Caion bagi mengubah momentum perlawanan.
Gol yang dicari anak-anak buah Le Duc Tuan akhirnya muncul pada minit ke-87 menerusi Tuan Hai Pham.
Begitupun, pelawat terpaksa beraksi dengan sembilan orang apabila Dao Van Nam pula mengutip kad kuning kedua pada minit akhir perlawanan.
Hanoi terus berusaha memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini membolehkan Wuhan mengumpul empat mata sama dengan Urawa Reds. Bagaimanapun, kelab J1 League itu kekal di tempat kedua atas sebab perbezaan jaringan.
Manakala Hanoi pula terus kekal di tangga tercorot tanpa sebarang mata. Sofascore mengiktiraf Gao Zhunyi sebagai pemain terbaik Wuhan dengan markah 8.6.
Manakala Van Chuan pula muncul pemain terbaik Hanoi dengan markah 8.4.