Yokohama F. Marinos meraih kelebihan tipis satu gol apabila menewaskan Al-Ain 2-1 dalam aksi final pertama Liga Juara-Juara AFC (ACL) musim 2023/24.
Marinos selaku tuan rumah berharap dapat menamatkan kemarau kejuaraan Asia sejak 1992/93. Manakala Al-Zaeem memburu matlamat sama selepas kali terakhir bergelar juara pada 2003.
Pertemuan ini juga dianggap istimewa kerana menemukan legenda Liverpool iaitu Harry Kewell (Yokohama) dan legenda Chelsea, Hernan Crespo (Al-Ain).
Babak pertama menyaksikan Yokohama berusaha mendominasi pelawat menerusi jentera serangan mereka diketuai Anderson Lopes.
Malangnya, ketumpulan sentuhan penyudah menyebabkan tuan rumah bergelut mendapatkan gol awal. Sebaliknya, Al-Zaeem mengejutkan Yokohama dengan mendahului pada minit ke-12.
Kegagalan barisan pertahanan Marinos mengeluarkan bola muntah yang terhasil daripada rembatan Soufiane Rahimi pantas disambar Mohammed Abbas sebelum meletakkan Al-Ain di hadapan.
Tersentak, tuan rumah menggandakan asakan untuk mendapatkan gol penyamaan. Yokohama menyangka mereka semakin ketinggalan apabila Matias Palacios meledakkan gol kedua Al-Ain pada minit ke-31.
Tuan rumah kemudiannya menghela nafas lega apabila gol pemain sayap Argentina itu dibatalkan kerana beliau berada pada kedudukan ofsaid.
Kedua-dua pasukan terus memberi saingan sengit di atas padang tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Kewell memasukkan bekas pemain sayap Arsenal, Ryo Miyachi dan Kota Watanabe untuk menambah bisa di bahagian serangan.
Percaturan yang dibuat jurulatih Australia itu akhirnya membuahkan hasil apabila Asahi Uenaka menyamakan kedudukan buat tuan rumah pada minit ke-72.
Yan Matheus berjaya melepasi kawalan pemain pertahanan Al-Zaeem sebelum membuat hantaran ke arah kotak penalti mereka. Hantaran itu pantas ditanduk Uenaka melepasi jangkauan penjaga gol utama Al-Ain, Khaled Eisa.
Tuan rumah terus memperkemaskan rentak permainan mereka dengan memasukkan Riku Yamane dan Keigo Sakakibara.
Tatkala Al-Zaeem menyangka dapat membawa bekalan satu gol untuk final kedua pada 26 Mei ini, Yokohama mendahului pada minit ke-84 menerusi Watanabe.
Selepas menerima hantaran Matheus, cubaan Miyachi membuat rembatan terkena lutut Watanabe sebelum menerjah jaring Al-Ain. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Uenaka dipilih Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan hari ini dengan markah 7.6. Beliau mengatasi cabaran Eisa yang merekodkan markah 0.1.
Yokohama berharap dapat mempertahankan kelebihan agregat 2-1 apabila kedua-dua pasukan kembali berentap untuk final kedua pada 26 Mei ini.