Naib Juara Liga Thai 1 musim lalu, Bangkok United mempamerkan taring pada aksi pertama mereka di Asian Champions League 2 (ACL) apabila menundukkan kelab Singapura, Tampines Rovers pada Rabu.
Bangkok United yang beraksi di gelanggang sendiri telah menurukan barisan terkuat termasuk dua tonggak berpengalaman iaitu Manuel Bihr dan Thitiphan Puangjan dalam usaha mereka meraih 3 mata pertama.
Perlawanan dimulakan dengan penguasaan penuh menjadi milik tuan rumah sekali gus memaksa Tampines lebih memfokuskan untuk bertahan.
Namun benteng Tampines yang diketuai Shuya Yamashita bertindak cemerlang dengan menahan setiap serangan merbahaya dari Bangkok.
Ketika aksi separuh masa pertama hampir tamat, jaringan yang didambakan Bangkok United akhirnya tiba menerusi penyudah penyerang antarabangsa Oman, Muhsen Al-Ghassani sekali gus menamatkan aksi separuh masa pertama dengan Bangkok United mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, Tampines cuba memperkemaskan corak permainan dengan hantaran-hantaran yang tepat.
Usaha tidak putus-putus Tampines akhirnya membuahkan hasil apabila penyerang muda dari Jepun, Seia Kunori meledak pada minit ke-53 selepas menyempurnakan hantaran dari Boris Kopitovic. Kedudukan terikat 1-1.
Tersentak dengan jaringan penyamaan dari Tampines, Bangkok United membuat pertukaran dengan membawa masuk seorang lagi pemain import iaitu Bassel Jradi bagi memperkuatkan bahagian tengah pasukan.
Bangkok United tidak perlu menunggu lama untuk kembali di hadapan selepas Muhsen Al-Ghassani sekali lagi mempamerkan bisa dengan meledak jaringan pada minit ke-63.
Jaringan tersebut tidak membuatkan tempo permainan Bangkok United makin kendur malah mereka terus menekan benteng Tampines.
Pada ketika Bangkok menguasai perlawanan, Tampines berjaya mendapatkan jaringan penyamaan pada minit ke-72 sekali lagi menerusi Seia Kunori.
Kedudukan 2-2 itu hanya kekal 5 minit selepas Bangkok United berjaya mendapatkan jaringan ketiga menerusi sepakan penalti Richairo Zivkovic untuk kembali meletakkan Bangkok di hadapan dengan kedudukan 3-2.
Ketika perlawanan hampir tamat, Bassel Jradi menutup perlawanan dengan jaringan keempat Bangkok United pada masa tambahan sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan 4-2 memihak Bangkok United.
Kemenangan itu menjadikan Bangkok United kini berada di puncak kumpulan G ACL2 dengan mengumpul 3 mata. Mengekori rapat Bangkok United adalah kelab Vietnam, Nam Dinh yang turut mencatatkan kemenangan pada aksi sulung mereka.