Lion City Sailors (LCS) mengiringi wakil Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sharjah FC ke final Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) apabila menyingkirkan Sydney FC dalam aksi separuh akhir kedua.
Selepas tewas 2-0 kepada The Sailors di Singapura pada 9 April lalu, The Sky Blues berdepan misi wajib menang di Stadium Allianz.
Bekas bintang Brazil, Douglas Costa terus menjadi pilihan nadi kreativiti Sydney. Lennart Thy menjadi sandaran gol jurulatih LCS, Aleksandar Rankovic.
Separuh masa pertama menyaksikan Sydney menyangka mereka telah mendahului pelawat seawal minit ke-10 menerusi Jordan Courtney-Perkins.
Walau bagaimanapun, gol tersebut dibatalkan selepas VAR mengesan Adrian Segecic berada pada kedudukan ofsaid.
Thy hampir menggegar gawang The Sky Blues pada minit ke-35 selepas menerima hantaran Maxime Lestienne. Malangnya, tandukan beliau berjaya dinafikan Harrison Devenish-Meares.
Kapten Sydney, Rhyan Grant menyangka telah menyumbat gol pendahuluan pada minit ke-42. Grant kemudiannya hampa kerana beliau berada pada kedudukan ofsaid semasa menjaringkan gol.
The Sky Blues terus memberi tekanan kepada LCS tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan berusaha memecah kebuntuan di Stadium Allianz.
Patrcyk Klimala hampir meraih gol pendahuluan buat Sydney pada minit ke-49. Malangnya, penjaga gol LCS, Izwan Mahbud pantas menafikan percubaan beliau sebelum bola dikeluarkan.
Taktik fizikal The Sky Blues mula mencetuskan rasa tidak puas hati barisan pemain The Sailors. Situasi itu juga mendorong Rankovic memasukkan Shawal Anuar menggantikan Lestienne.
Kekentalan barisan pertahanan LCS akhirnya roboh pada minit ke-85 menerusi Joe Lolley. Bekas pemain sayap Nottingham Forest itu melepaskan rembatan separa voli yang menewaskan Izwan.
Gol tersebut menyuntik semangat Sydney untuk memburu gol kedua perlawanan. Malangnya, itu tidak berlaku dan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Itu sudah cukup buat LCS mengiringi Sharjah ke pentas final ACL2 dengan kelebihan agregat 2-1. Meskipun tewas, Lolley diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.4.
Selepas ini, The Sailors akan menentang DPMM untuk aksi separuh akhir Singapore Cup pada 22 April. Sydney pula akan menentang Newcastle Jets pada 20 April.