Dua wakil Kumpulan H, Muangthong United dan Jeonbuk Hyundai Motors berdepan cabaran berbeza dalam pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).
Jeonbuk dan Muangthong layak ke pusingan berkenaan selaku juara dan naib juara Kumpulan H. Ini selepas kedua-dua pasukan mara dengan kutipan 12 dan 11 mata di peringkat kumpulan.
Muangthong bakal berdepan cabaran kelab gergasi Singapore Premier League (SPL), Lion City Sailors. Jeonbuk pula akan berdepan cabaran satu lagi kelab Thailand, Port FC.
Baki dua aksi pusingan 16 terbaik membabitkan pasukan Timur ACL2 menyaksikan Bangkok United bakal dicabar Sydney FC. Kelab Vietnam, Nam Dinh FC pula menentang kelab J1 League, Sanfreece Hiroshima.
Aksi pusingan 16 terbaik membabitkan pasukan Barat ACL2 pula menyaksikan Al-Hussein SC menentang Sharjah FC. Kelab Jordan itu memiliki dua tonggak import yang pernah mewarnai Liga Malaysia (Liga M), Reziq Bani Hani dan Mahmoud Al-Mardi.
Kelab Bahrain, Al-Khaldiya SC akan menentang Tractor FC. Kelab Qatar, Al-Wakrah SC akan berdepan cabaran wakil Arab Saudi, Al-Taawoun FC.
Satu lagi kelab Jordan, Al-Wehdat FC bakal berdepan Shabab Al-Ahli. Cabutan undi pusingan 16 terbaik dikendalikan AFC di AFC House, Kuala Lumpur hari ini.
Aksi pertama pusingan 16 terbaik ACL2 bakal berlangsung dari 11 hingga 13 Februari 2025. Ini disusuli dengan aksi timbal balik pusingan itu yang berlangsung dari 18 hingga 20 Februari 2025.
Juara ACL2 bakal menerima hadiah wang bernilai AS$3.28 juta (RM14.5 juta). Naib juara ACL2 pula akan menerima hadiah wang bernilai AS$1.78 juta (RM7.9 juta).