Hasrat Port FC melebarkan kelebihan sebagai pendahulu Kumpulan F tercapai apabila pasukan itu menewaskan Zhejiang 1-0.
Selepas aksi mereka dengan Lion City Sailors pada 3 Oktober lalu ditangguhkan akibat cuaca buruk, Port mahu menambah satu lagi kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC 2(ACL2).
Manakala Zhejiang pula memburu kemenangan dalam Kumpulan H selepas menewaskan Persib Bandung 1-0 pada 3 Oktober lalu.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dengan Lonsana Doumbouya menjadi sandaran gol Port. Manakala sengat bintang Ivory Coast, Jean Evrard Kouassi ditagih Zhejiang untuk merobek gawang tuan rumah.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha memburu gol untuk mendapatkan kelebihan awal perlawanan.
Zhejiang menyangka mereka telah membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Kouassi. Malangnya, gol tersebut dibatalkan pengadil selepas pemain sayap berusia 30 tahun itu dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.
Zhejiang terus berusaha mencari peluang untuk merobek gawang Port yang dikawal Worawut Srisupha. Walau bagaimanapun, usaha mereka kerap digagalkan barisan pertahanan tuan rumah diketuai Isaac Honny.
Kecekapan Honny memimpin barisan pertahanan Port memastikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga rehat.
Bersambung selepas rehat, kedua-dua pasukan terus berusaha memecah kebuntuan tetapi tidak berhasil.
Keadaan ini mendorong jurulatih Zhejiang, Jordi Vinyals memasukkan dua lagi tonggak import, Franko Andrijasevic dan Alexander N’Doumbou sebagai pemain gantian pada minit ke-65.
Sementara jurulatih Port, Rangsan Viwatchaichok memasukkan Willen Mota dan Sittha Boonlha pada minit ke-67 dan 68 untuk menambah sengat serangan tuan rumah.
Percaturan Rangsan membuahkan hasil apabila Felipe Amorim meledakkan gol pada minit ke-69.
Tersentak, Vinyals memasukkan Bin Gu dan Wang Yudong pada minit ke-74 untuk mengubah momentum perlawanan. Zhejiang hampir menyamakan menerusi Zhang Jiaqi pada minit ke-83 tetapi dinafikan Worawut.
Pasukan pelawat terus berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Port terus menerajui Kumpulan F dengan enam mata. Manakala Zhejiang pula jatuh ke tangga ketiga dengan tiga mata.
Kecemerlangan kapten dan bek kiri Port, Kevin Deeromram diiktiraf Sofascore sebagai pemain terbaik perlawanan. Beliau mendapat markah 8.0, 0.6 mata di hadapan Honny.
Selepas ini, Port bakal menentang Muangthong United pada 27 Oktober. Manakala Zhejiang pula berharap dapat meraih kemenangan bila menentang Shandong Taishan pada hari yang sama.