Advertisements
ACL2: Sydney Pastikan Kaya Iloilo Terduduk Di Laman Sendiri
ACL
MakanBola
Kaya FC

Hasrat kelab Filipina, Kaya Iloilo mencipta kejutan di pentas Asia tidak menjadi kenyataan selepas tewas kepada Sydney FC dalam saingan AFC Champions League 2 (ACL2) pada Khamis.

Kaya yang menjadi tuan rumah telah meletakkan trio import dari Jepun untuk mengawal bahagian tengah manakala Sydney mempertaruhkan Patryk Klimala sebagai penyerang tunggal.

Kaya memulakan permainan dengan langkah positif apabila terlebih dahulu di hadapan seawal minit ke-3 melalui penyudah Daizo Harikoshi.

Ketinggalan di awal permainan memaksa Sydney lebih tenang mengawal permainan dengan hantaran-hantaran yang tepat.

Pada minit ke-16, Douglas Costa hampir menyamakan kedudukan buat Sydney melalui sepakan percuma namun sepakannya hanya singgah ke sisi gawang.

Selepas serangan demi serangan dilancarkan, Sydney akhirnya berjaya menyamakan keududukan melalui jaringan Joe Lolley pada minit ke-26.

Sydney terus menguasai perlawanan dan memaksa pemain-pemain kaya bertahan secara menyeluruh bagi menahan asakan.

Separuh masa pertama ditamatkan dengan keputusan 1-1.

Bersambung pada separuh masa kedua, Kaya terus ditekan hebat barisan serangan Sydney.

Pada minit ke-59, Patryk Klimala meletakkan Sydney berada di hadapan buat pertama kali dalam perlawanan ini selepas meyudahkan hantaran Douglas Costa untuk memberikan Sydney kelebihan 2-1 mendahului Kaya.

Klimala sekali lagi mempamerkan bisa apabila menjaringkan gol empat minit kemudian untuk meletakkan Sydney selesa 3-1 di hadapan.

Klimala hampir melengkapkan hatrik beliau melalui percubaannya pada minit ke-72 namun percubaannya tidak dapat diterjemahkan kepada jaringan.

Ketika perlawan hampir tamat, Sydney menambah jaringan keempat melalui penyudah pemain gantian, Nathan Amanatinis selepas menyambar peluang terhidang di hadapan gol.

Tiada tambahan jaringan dapat dihasilkan selepas itu sekali gus menamatkan aksi dengan kemenangan 4-1 memihak Sydney menewaskan tuan rumah, Kaya Iloilo.

Untuk aksi ACL2 seterusnya, Sydney bakal terbang ke Jepun untuk menentang Sanfrecce Hiroshima pada 23 Oktober manakala Kaya pula akan melayan kunjungan kelab Hong Kong, Eastern FC pada 24 Oktober.