Pemain pertahanan Buriram United, Dion Cools sedia membantu pasukan itu menghadapi ancaman wakil Arab Saudi, Al-Ahli di peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
Thunder Castle berjaya mara ke suku akhir selepas mengatasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam pusingan 16 pasukan terbaik ACLE pada Mac lalu.
Kini, Al-Ahli menjadi penghalang antara Buriram dengan slot di peringkat separuh akhir. Al-Ahli mara selepas menyingkirkan Al-Rayyan dalam satu lagi aksi pusingan 16.
Pasukan yang dilatih Matthias Jaissle itu menjanjikan cabaran sukar buat Thunder Castle. Ini kerana pasukan itu dibarisi ramai bekas bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Riyad Mahrez, Ivan Toney, Edouard Mendy dan Roberto Firmino.
Meskipun menyedari cabaran sukar yang bakal menanti pendahulu Thai League 1 itu, Cools melihat perkara tersebut dari sudut positif.
Ini kerana pasukan kuat seperti Al-Ahli dilihat pengukur sejauh mana pencapaian anak buah Osmar Loss Vieira itu di peringkat Asia.
“Ia satu cabaran yang sukar tetapi ini juga peluang baik untuk melihat kedudukan kita sebagai satu pasukan.
“Kita tahu ini akan menjadi sukar tetapi kita telah berlatih bersungguh-sungguh. Semua orang bersikap positif dan kita akan berikan yang terbaik untuk berjaya (di atas padang),” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Cools turut berharap dapat membantu Buriram melakar kejutan ke atas pasukan yang diberi jolokan Al-Malaki itu.
“Saya mahu tampilkan permainan yang bagus tetapi keputusan jauh lebih penting. Kami fokus mendapatkan keputusan positif pada akhir perlawanan,” ujarnya.
Thunder Castle bakal berentap dengan Al-Ahli di King Abdullah Sports City pada 27 April ini.