ACLE: Vissel Kobe Atasi Tentangan Hebat Shandong Taishan
MakanBola
AFC
Sponsors

Juara J1 League musim 2023, Vissel Kobe meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) dengan menewaskan Shandong Taishan.

Kobe memburu kemenangan pertama dalam Liga Timur ACLE selepas diikat Buriram United tanpa jaringan pada 17 September. Manakala Shandong pula mahu melebarkan rekod kemenangan 100% selepas menewaskan Central Coast Mariners.

Ad

Peledak berbisa Ushi, Yuya Osako mengetuai cabaran pasukan Jepun itu. Manakala Cryzan pula mengetuai jentera serangan Taishan Dui.

Separuh masa pertama menyaksikan Kobe berusaha mencari gol pendahuluan di stadium keramat mereka, Stadium Noevir Kobe.

Ad

Gol yang dicari tuan rumah hadir pada minit ke-14 menerusi Taisei Miyashiro selepas menerima hantaran Takahiro Ogahara. Ini gol ke-11 beliau untuk Kobe dalam semua kejohanan musim ini.

Ad

Tersentak, Shandong yang dibimbing jurulatih Korea Selatan, Choi Kang-hee mula mengasak untuk mendapatkan gol penyamaan.

Ad

Hasilnya, Cryzan memastikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga rehat separuh masa menerusi tandukan padu pada minit ke-28.

Bersambung selepas rehat, sokongan padu penyokong mendorong Ushi makin kuat mengasak untuk mendapatkan gol kedua.

Gol yang dicari Kobe muncul pada minit ke-50. Bek kanan, Gotoku Sakai melepaskan rembatan deras yang mengelirukan penjaga gol dan kapten, Wang Dalei sebelum menerjah jaring.

Menyedari anak buahnya semakin ketinggalan, Kang-hee memasukkan Zeca dan Zhang Chi. Sementara jurulatih Kobe, Takayuki Yoshida memasukkan bekas penyerang Newcastle United, Yoshinori Muto.

Muto hampir menambah gol ketiga Ushi pada minit ke-65. Malangnya, rembatan penyerang berusia 32 tahun itu melepasi palang gol.

Seorang lagi pemain gantian Kobe, Rikuto Hirose juga tidak bernasib baik apabila rembatan derasnya pada minit ke-77 terkena palang gawang Taishan Dui.

Pertelagahan antara kedua-dua pasukan tercetus pada akhir perlawanan apabila Gao Zhunyi melakukan terjahan keras ke atas Jean Patric. Pada akhirnya, pengadil melayangkan kad kuning ke atas Zhunyi atas tindakannya.

Shandong terus memburu gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Kekalahan ini menyaksikan tiga wakil China dalam saingan ACLE iaitu Shandong, Shanghai Port dan Shanghai Shenhua tewas dalam aksi kedua masing-masing.

Kemenangan ini melonjakkan Kobe ke tangga keempat Liga Timur dengan empat mata. Sementara Taishan Dui pula di tangga kelima dengan tiga mata.

Pemain sayap Kobe, Daiju Sasaki dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.2, 0.2 mata di hadapan Ogihara.

Selepas ini, Shandong akan menghadapi cabaran Tianjin Jinmen Tiger pada 18 Oktober. Manakala Kobe pula akan menentang Kyoto Sanga pada 6 Oktober.