Keputusan seri tanpa jaringan yang terhasil dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara Manchester United dan Liverpool dihiasi adegan pelik di hujung perlawanan.
Ketika perlawanan hampir tamat, pertahanan kanan Man United, Diogo Dalot telah diperintahkan keluar padang hanya kerana memprotes keputusan pengadil selepas memberi lontaran dalam kepada Liverpool.
Dalot dilihat memprotes dua kali terhadap pengadil perlawanan, Michael Oliver. Protes kali pertama, beliau dilayangkan kad kuning manakala protes kali kedua beliau dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah.
Bekas pemain Man United, Dimitar Berbatov berpendapat tindakan pengadil perlawanan adalah betul apabila Dalot terlampau agresif terhadap keputusan pengadil.
“Saya rasa anda perlu lebih menghormati pengadil perlawanan. Ianya seperti terlampau banyak tindak balas agresif. Pengadil lebih dekat dengannya (Dalot), dia boleh dengar,” jelas Berbatov seperti yang dikongsikan di Stadium Astro.
Berbatov juga mengingatkan para pemain bola sepak supaya lebih tenang dan lebih fokus apabila perlawanan semakin hampir ke penghujungnya.
Kad merah tersebut membuatkan Man United terpaksa beraksi tempang dengan 10 pemain. Walau bagaimanapun ianya tidak menjejaskan baki dua minit masa kecederaan ketika itu apabila Man United berjaya mencuri satu mata dari Anfield.