Satu mata, tanpa gol dalam tiga perlawanan dan berada di tangga tercorot liga, ia sesuatu yang meresahkan penyokong-penyokong Terengganu. Bagi penyerang utama mereka, Adisak Kraisorn, situasi ini turut mengecewakannya.
Bagi Adisak, setiap kali diturunkan oleh jurulatih Tomislav Steinbruckner, dia berusaha menjaringkan gol untuk skuad Peteh. Tetapi malangnya, penyerang Thailand itu belum sempat merealisasikan impian menjaringkan gol pertamanya bersama kelab.
Tetapi Adisak percaya lambat-laun, dia bakal merekodkan kemenangan pertama bersama Terengganu dan mencipta nama sebagai penjaring.
“Jika diturunkan jurulatih menentang PDRM FC pada Sabtu ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan pertama pada musim ini.
“Namun bola sepak adalah aksi berpasukan, tidak semestinya saya yang menjaringkan gol, jika rakan sepasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, pasti mereka pun mampu mencetak namanya sebagai penjaring, yang penting adalah tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri.
“Lagipun bukan sahaja peminat mahukan kemenangan, kami pun sama, saya percaya rakan sepasukan juga sentiasa berusaha untuk melakar kemenangan sekali gus sebagai penawar pasukan,” katanya kepada Arena Metro.
Selain Adisak, Ivan Mamut juga merupakan peledak utama skuad Penyu musim ini. Ramai berharap kedua-duanya dapat bangkit dan menghasilkan impak serupa seperti duo import musim lepas, Tchetche Kipre dan Kpah Sherman.
Terengganu selepas ini bakal berdepan PDRM pada Sabtu ini untuk saingan Liga Super. Dengan PDRM segar daripada kemenangan 1-0 ke atas Kedah, mereka bakal menjanjikan tentangan sengit terhadap anak-anak buah Steinbruckner.