Pemain sayap Bahrain, Ali Madan mengakui kehebatan penjaga gol utama Malaysia, Ahmad Syihan Hazmi. Beliau dan rakan sepasukan berhadapan dengan satu perlawanan yang sukar kerana Syihan merupakan antara penjaga gol yang sukar ditembusi.
Pemain sayap Bahrain berusia 28 tahun itu telah menyumbang gol kemenangan pasukan pada detik-detik akhir masa kecederaan ketika menentang Malaysia dalam perlawanan kedua Kumpulan E Piala Asia 2023 semalam.
Ali juga menjelaskan aksi menentang Jordan dan Malaysia berbeza kerana pada perlawanan bertemu Malaysia semalam, pasukannya mendapat tekanan yang lebih tinggi.
“Kita berhadapan satu perlawanan yang sukar. Seperti yang anda lihat dari pasukan Malaysia, posisi taktikal mereka bukan saja betul tetapi berdisiplin,” ujarnya.
“Alhamdulillah, kita berjaya mendapat tiga mata. Memang benar bila beliau (Syihan Hazmi) di depan gol kita berdepan kesukaran menembusinya.”
“Aksi hari ini berbeza, perlawanan menentang Jordan juga berbeza. Perlawanan hari ini (kita dikenakan) tekanan yang hebat. Tiada cara lain, kita kena dapatkan mata,” katanya.
Selepas ini Bahrain yang berada di tangga ketiga Kumpulan E akan melengkapkan jadual Piala Asia 2023 berdepan Jordan di Stadium Khalifah, pada Khamis, 25 Januari 2024 nanti.