Australia membuktikan status mereka sebagai pasukan keempat terbaik Asia dengan mengatasi cabaran wakil Asia Selatan, India dalam aksi pertama Kumpulan B hari ini.
Ini penampilan kelima Piala Asia buat kedua-dua pasukan. The Blue Tigers ingin melakar pencapaian lebih baik selepas tersekat di peringkat kumpulan pada edisi 1984, 2011 dan 2019.
Sementara The Socceroos pula ingin mengulangi pencapaian bergelar juara Piala Asia selepas melakukannya pada edisi 2015.
Perlawanan hari ini turut menyaksikan sejarah dilakar menerusi pengadil Jepun, Yoshimi Yamashita. Ini kerana beliau menjadi pengadil wanita pertama dalam sejarah kejohanan mengadili perlawanan Piala Asia.
Babak pertama menyaksikan Australia yang diperkuat ramai pemain berpangkalan di Eropah mendominasi perlawanan.
Bagaimanapun, anak buah Graham Arnold bernasib baik tidak dibolosi oleh The Blue Tigers pada minit ke-15. Kegagalan Harry Souttar menanduk kemas bola hampir ditanduk kapten India, Sunil Chhetri tetapi gagal menemui sasaran.
India juga menghela nafas lega apabila sepakan penjuru yang diambil Craig Goodwin tidak menembusi gawang Gurpreet Singh Sandhu pada minit ke-26.
Australia terus mengatur serangan demi serangan tetapi setiap percubaan mereka dipatahkan oleh permainan berdisiplin anak buah Igor Stimac. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, The Socceroos menggandakan asakan ke atas kubu pertahanan The Blue Tigers.
Kesilapan Gupreet menampan bola mengakibatkan bola jatuh pada kaki pemain tengah St. Pauli, Jackson Irvine. Irvine pantas menghukum pertahanan India dengan meletakkan Australia di hadapan pada minit ke-50.
Gol tersebut merupakan gol ke-10 beliau dalam 62 penampilan bersama The Socceroos. Gol Irvine memberi keyakinan kepada Australia untuk memburu gol tambahan.
Arnold kemudiannya membawa masuk Sammy Silvera dan Riley McGree untuk menambah kreativiti di bahagian serangan pasukan ke-25 dunia itu.
Pemain gantian berusia 21 tahun, Jordan Bos memastikan kemenangan milik Australia dengan gol pada minit ke-73.
Goodwin dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan 8.0 mata, 0.1 mata di hadapan rakan sepasukan Keanu Bacchus.
Keputusan 2-0 memastikan The Socceroos mendahului Kumpulan B dengan tiga mata. Bagaimanapun, kedudukan ini boleh berubah seandainya Syria atau Uzbekistan meraih kemenangan dalam satu lagi aksi Kumpulan B awal pagi esok.
Australia bakal berdepan Syria pada 18 Januari ini. Manakala The Blue Tigers pula berdepan Uzbekistan pada hari yang sama.