Bahrain mengesahkan kemaraan ke pusingan kalah mati setelah menumbangkan Jordan dalam aksi terakhir kumpulan E AFC Asian Cup.
Aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa menyaksikan kedua-dua pasukan mahu meraih mata maksimum bagi memastikan kedudukan akhir kumpulan lebih selesa.
Bahrain membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi, Abdulla Yusuf Helal yang menerima hantaran Ali Madan minit ke-34.
Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung separuh masa kedua, Jordan terus merencana serangan bagi mencari jaringan penyamaan.
Namun, ketumpulan jentera serangan yang dipimpin Yazan Al Naimat gagal menembusi gawang yang dikawal Ebrahim Lutfalla.
Tamat perlawanan, Jordan 0-1 Bahrain.
Keputusan ini menyaksikan Bahrain mengakhiri saingan kumpulan di tangga teratas dengan 6 mata manakala Jordan sekadar berpuas hati di tempat ketiga dengan 4 mata.