Aksi Piala Asia 2023 yang membabitkan pertemuan antara pasukan UAE dan Palestin pada semalam telah mencuri tumpuan ramai.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Janoub itu berkesudahan dengan keputusan seri, 1-1 menerusi tandukan penyerang muda UAE, Sultan Adil dan jaringan sendiri pertahanan UAE, Bader Nasser.
Pada minit ke-50 permainan, kecuaian barisan pertahanan UAE telah dihukum pasukan lawan. Hantaran lintang daripada penyerang Palestin, Tamer Sayam telah ditanduk masuk pertahanan UAE sendiri, Bader Nasser.
Gol sendiri Bader itu mencuri tumpuan ramai apabila tandukan beliau cantik dan tepat menerjah ke gawang sendiri. Kesilapan Bader itu sekaligus memaksa UAE untuk berpuas hati meraih satu mata.
Jaringan itu menjadi penutup malam yang panjang buat skuad kendalian Paulo Bento yang terpaksa akur beraksi dengan 10 orang pemain dan menamatkan aksi dengan keputusan seri biarpun telah mendahului pada babak pertama permainan.
Walaupun hanya meraih satu mata, UAE kekal menjadi pendahulu dalam carta Kumpulan C dengan empat mata. Palestin pula di kedudukan ketiga dengan satu mata selepas dua perlawanan.
Aksi seterusnya menyaksikan UAE bakal berdepan cabaran pasukan Ian untuk aksi terakhir peringkat kumpulan pada Selasa, 23 Januari 2024 sementara Palestin akan menentang pasukan Hong Kong.