Advertisements
AFC Asian Cup: Hong Kong Diaibkan Palestin
Asia
MakanBola
GulfTimesQatar

Aksi terakhir saingan Kumpulan C pentas Piala Asia 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan Hong Kong dan Palestin.

Babak separuh masa pertama memihak kepada Palestin apabila skuad kendalian Makram Daboub berjaya mendahului perlawanan dengan satu gol menerusi jaringan penyerang sensasi Palestin, Oday Dabbagh.

Hantaran lintang daripada kapten pasukan Palestin, Mosab Batat telah disempurnakan kemas Oday Dabbagh untuk gol pembukaan perlawanan.

Bersambung aksi di babak kedua permainan, Palestin terus melebarkan kedudukan menerusi jaringan Zeid Qunbar. Penjaga gol Hong Kong, Tse Ka Wing sekali lagi ditewaskan menerusi jaringan daripada tandukan.

Tak terhenti setakat itu, Palestin terus menambah duka Hong Kong apabila menggandakan jaringan sekali lagi menerusi Oday Dabbagh. Oday pantas menyambar bola muntah yang terkena palang untuk memastikan malam gemilang di Stadium Abdulla bin Khalifa menjadi milik Palestin.

Biarpun ada beberapa percubaan dan serangan daripada kem Hong Kong, skuad kendalian John Andersen bagaimanapun tetap buntu untuk mencetak sebarang jaringan.

Aksi tamat, Palestin catat kemenangan bergaya mengatasi Hong Kong dengan keputusan 3-0.

Dalam carta saingan Kumpulan C, Iran kini menghuni tangga pertama dengan enam mata dan UAE di tangga kedua berkongsi empat mata bersama Palestin yang berada di kedudukan ketiga. UAE dan Palestin hanya dibezakan dengan jumlah jaringan sementara Hong Kong, menamatkan cabaran di pentas Piala Asia di tangga keempat selepas tewas dalam semua aksi pada edisi kali ini.