Impian seorang penyokong berstatus orang kelainan upaya (OKU) untuk bertemu dengan barisan pemain Harimau Malaya di Qatar tercapai.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin merealisasikan impian Muhammad Ridzwan Erman Effendi, 27, dengan mangatur satu pertemuan dengan skuad negara sebelum mereka menjalani latihan semalam.
Pertemuan itu diatur sebagai tanda penghargaan kepada Ridzwan dan abangnya, Raff Iskandar Erman Effendi.
Ini kerana mereka berdua sanggup terbang ke Qatar agar dapat memberi sokongan kepada Malaysia dalam saingan Piala Asia 2023.
Ridzwan bukan saja berpeluang bertemu dengan barisan pemain Harimau Malaya seperti Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Shahrul Saad.
Bahkan, dia juga bertuah kerana dapat bertemu dengan pengendali skuad senior negara, Kim Pan-gon. Pertemuan ini dikongsikan wartawan sukan, Nazrin Arif dalam satu hantaran di X semalam.
Dalam pertemuan tersebut, Ridzwan memberitahu Pan-gon bahawa dia berharap skuad negara dapat meraih kemenangan dalam saingan Piala Asia.
Pengendali Korea Selatan itu berjanji barisan pemain negara akan berusaha memberi yang terbaik apabila turun dalam aksi kedua Kumpulan E nanti.
Kisah Ridzwan dan Raff Iskandar sebelum ini mencuri tumpuan pengguna media sosial semasa perlawanan Malaysia menentang Jordan. Ini kerana abangnya itu menggunakan tangan sebagai simulasi bagi membantunya merasai suasana di stadium.
Skuad negara bakal turun berdepan Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad esok pada jam 10.30 malam.