Kesilapan kecil yang dilakukan pemain Vietnam telah menghadiahkan kekalahan kedua Vietnam dalam saingan Piala Asia 2023 ini.
Itu merupakan perkara yang bermain di dalam fikiran jurulatih Vietnam, Philippe Troussier selepas menyaksikan anak buahnya terpaksa akur tewas dengan jaringan penalti Asnawi Mangkualam.
“Saya sangat kecewa dengan kekalahan ini. Ia adalah perlawanan berkualiti tinggi di mana keputusan ditentukan melalui penalti, selepas kesilapan kecil di dalam kotak penalti. Kesilapan kecil telah menjejaskan rentak seluruh pasukan,” jelas Troussier seperti dilaporkan VnExpress.
Dalam pada itu, Troussier turut menganggap perlawanan menentang Indonesia agak sukar memandangkan pasukan Indonesia kini berbeza selepas diperkuatkan dengan beberapa pemain warisan.
Biarpun tewas, ianya bukanlah satu noktah dalam perjuangan Vietnam di Piala Asia. Troussier akan terus memberi semangat kepada anak buahnya untuk mendapatkan tiga mata pada aksi terakhir menentang Iraq.
“Ia jelas satu perlawanan yang sukar. Indonesia mempunyai skuad berkualiti dengan pemain naturalisasi (warisan). Kami tewas tetapi saya bangga kerana kami telah berjuang dengan hebat sehingga detik terakhir.
“Kami tidak akan berputus asa (untuk tiga mata dalam perlawanan menentang Iraq),” katanya lagi.
Pada aksi semalam, penalti dari Asnawi Mangkualam pada minit ke-42 sudah mencukupi buat Indonesia untuk mendapatkan tiga mata pertama dalam kempen Piala Asia 2023.
Vietnam akan bertemu Iraq pada aksi terakhir mereka pada 24 Januari manakala Indonesia akan bertemu Jepun pada tarikh yang sama.