Iran membuktikan status sebagai pasukan kedua terbaik Asia dengan membelasah Palestine 4-1 dalam aksi pertama Kumpulan C awal pagi ini.
Perlawanan hari ini merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan dalam Piala Asia. Palestine berharap dapat meleburkan rekod enam perlawanan tanpa kemenangan dalam kejohanan selepas gagal melakukannya pada edisi 2015 dan 2019.
Sementara Iran pula ingin mengekalkan rekod 20 perlawanan tanpa kalah di peringkat kumpulan Piala Asia. Mereka telah merekodkan 15 kemenangan dan lima seri di peringkat kumpulan.
Sebelum perlawanan bermula, barisan pemain dan staf kedua-dua pasukan serta penyokong bertafakur selama seminit bagi mengenang mangsa-mangsa yang terbunuh dalam konflik Palestine-Israel.
Tidak seperti sesetengah pasukan gergasi yang bergelut mencari sentuhan penyudah, Iran tidak mempunyai masalah menjaringkan gol.
Team Melli merekodkan jaringan terpantas dalam kejohanan menerusi gol penyerang Omonia, Karim Ansarifard seawal minit kedua perlawanan.
10 minit kemudian, gawang Singa Kanaan yang dikawal Rami Hamada bocor lagi menerusi bek tengah Iran, Shoja Khalilzadeh.
Tersentak, Palestine cuba bangkit memburu gol. Malangnya, mereka dibolosi lagi buat kali ketiga menerusi Mehdi Ghayedi pada minit ke-38.
Bekas penyerang Brighton, Alireza Jahanbakhsh membuat larian ke arah kubu pertahanan Singa Kanaan sebelum hantarannya disudahkan Ghayedi.
Palestine memastikan mereka mendapat satu gol menerusi pemain tengah PT Prachuap, Tamir Seyam pada minit akhir babak pertama. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Team Melli terus berusaha menambah kelebihan gol mereka.
Hasilnya, sentuhan terakhir penyerang AS Roma, Sardar Azmoun memastikan Iran kembali memiliki kelebihan tiga gol pada minit ke-55.
Walaupun selesa mendahului 4-1, Iran terus memberi tekanan kepada Palestine. Ini memaksa barisan pertahanan Singa Kanaan diketuai kapten, Mus’ab Al-Battat bekerja keras menyerap tekanan lawan.
Penyerang gantian Palestine, Oday Dabbagh hampir menambah gol kedua pada minit ke-76 tetapi percubaannya tidak menepati sasaran.
Kedua-dua pasukan terus mencari gol tambahan tetapi keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan.
Saman Ghoddos dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore kerana mencipta tiga daripada empat gol Iran. Beliau mendapat markah 8.4 mata atas persembahannya hari ini.
Team Melli selepas ini bakal menentang Hong Kong pada 20 Januari. Sementara Palestine pula berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 19 Januari.