Ketua jurulatih Jordan, Hussein Ammouta enggan memandang rendah kemampuan skuad Harimau Malaya menjelang aksi pertama Jordan dan Malaysia di pentas Piala Asia 2023.
Beliau sedar Malaysia merupakan sebuah pasukan yang mampu memberi cabaran buat skuad kendaliannya memandangkan Malaysia kini antara pasukan yang menunjukkan peningkatan prestasi mendadak.
“Kita tahu semua pasukan yang bertanding dalam kejohanan ini merupakan pasukan yang hebat. Begitu juga Malaysia, sebuah pasukan yang harus kita hormati.”
“Suka untuk saya katakan bahawa Malaysia sudah berbeza dan kini sangat bagus. Miliki ramai pemain yang bagus, pemain-pemain yang hebat. Dengan pemain-pemain yang bermain di Liga Malaysia, ia telah menambah perkuat kem Harimau Malaya.”
Pengendali Jordan ini akui dan sedar bahawa Malaysia bukan sebuah lawan yang mudah. Mereka pastinya sudah melakukan persiapan terbaik dalam usaha memburu tiga mata penting dalam aksi pertama.
“Saya jangkakan satu perlawanan yang sukar, perlawanan yang berintensiti. Tapi kami pasukan Jordan sudah bersedia dan akan memberikan yang terbaik dalam aksi esok.”
Malaysia akan berdepan Jordan pada awal pagi Selasa untuk aksi pertama saingan Kumpulan E Piala Asia 2023 di Stadium Al-Janoub tepat jam 1.30 pagi.