Advertisements
AFC Asian Cup: Korea Selatan Bangkit Tewaskan Australia
Asia
MakanBola
Subway Socceroos

Korea Selatan bangkit pada hujung perlawanan untuk menewaskan cabaran Australia sekali gus menyaksikan bekas juara Piala Asia 2015 itu tersingkir.

Korea Selatan mendominasi penguasaan bola pada babak pertama namun pasukan itu bergelut untuk melakukan percubaan ke arah gawang gol Socceroos.

Craig Goodwin membuka tirai jaringan pada minit ke-42 perlawanan menerusi rembatan kencang setelah menerima hantaran daripada Nathaniel Atkinson.

Memasuki babak kedua, anak buah Jurgen Klinsmann meneruskan rentak dominasi namun aksi cemerlang blok pertahanan Australia berjaya menggagalkan percubaan Korea Selatan.

Pasukan kendalian Graham Arnold kerap kali melakukan serangan balas disebalik penguasaan bola oleh Korea Selatan tetapi tiada gol tambahan terhasil daripada Australia.

Korea Selatan kemudian berjaya menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Hwang Hee-Chan.

Keputusan seri 1-1 menyaksikan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan.

Son Heung-min muncul wira Korea Selatan apabila menjaringkan gol menerusi sepakan percuma pada minit ke-104 sekali gus menghadiahkan gol kedua untuk Taeguk Warriors.

Malang bertambah buat Australia setelah Aiden O’Neill dilayangkan kad merah akibat melakukan kekasaran.

Tamat perlawanan, Korea Selatan berjaya bangkit menumbangkan Australia dengan jaringan 2-1 untuk melangkah ke saingan separuh akhir Piala Asia 2023.