Pemain sayap Jordan, Mahmoud Al-Mardi mengatakan dua jaringan gol yang dilakukan untuk menewaskan Malaysia kelmarin itu hasil daripada pengalaman beliau ketika beraksi di Liga Malaysia bersama pasukan Kedah Darul Aman (KDA) pada tahun 2022.
Dalam temubual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, pemain berusia 30 tahun itu mengakui pasukan Malaysia antara pasukan yang baik dan melihat daripada beberapa perlawanan sebelum ini mereka bermain dengan cemerlang.
Mahmoud diturunkan sebagai pemain utama itu turut menjelaskan Jordan mahu mencipta sejarah menjuarai pentas Piala Asia AFC 2023.
Dalam pada itu, beliau juga tidak ketinggalan menyaksikan semua perlawanan pasukan Kedah Darul Aman dan akui rindu dengan pasukan itu.
“Pasukan kebangsaan Malaysia merupakan pasukan yang baik. Kami ada melihat beberapa perlawanan mereka dan mereka bermain dengan amat baik.
“Sudah pasti saya menonton semua perlawanan Kedah sepanjang musim lalu, mereka bermain bagus dan saya merindukan pasukan Kedah.
“Saya memiliki pengalaman dalam Liga Malaysia dan ia membantu saya untuk menjaringkan dua gol hari ini, Alhamdulillah.”
Jordan seterusnya akan beraksi menentang Korea Selatan pada aksi kedua Kumpulan E Sabtu ini yang akan berlangsung di Stadium Al-Thumama jam 7.30 malam.