Advertisement
AFC Asian Cup: “Malaysia Berada Pada Tahap Sama Dengan Jordan” – Kim Pan-gon
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Pengendali skuad senior Malaysia, Kim Pan-gon melihat skuad negara kini berada pada tahap sama dengan lawan mereka dari Kumpulan E, Jordan.

Pengamatan jurulatih Korea Selatan itu dibuat berdasarkan keputusan enam perlawanan antarabangsa yang dilalui Harimau Malaya sejak September 2023.

Daripada enam perlawanan antarabangsa, lima daripadanya membabitkan pasukan yang memiliki ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang lebih tinggi daripada Malaysia.

Enam perlawanan itu menyaksikan Malaysia merekodkan tiga kemenangan, dua kali seri dan satu kekalahan. Malaysia menewaskan India, Kyrgyzstan dan Taiwan.

Dua keputusan seri ialah bila Malaysia mengikat China 1-1 (September 2023) dan Syria 2-2 (8 Januari lalu). Satu-satunya kekalahan Harimau Malaya ialah kekalahan 3-0 kepada Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 2023.

Meskipun mengakui Jordan bakal memberi cabaran sukar kepada skuad negara, Pan-gon percaya Harimau Malaya mampu mencipta kejutan ke atas The Chivalrous Ones.

“Ya, kalau ikut rekod, Malaysia menduduki ranking ke-130 dengan Jordan ke-87. Ada yang rasakan perbezaan ini terlalu ketara. Apa yang anda boleh lakukan dalam tempoh 10 tahun, anda gambarkan pasukan anda sebagai satu pasukan yang kuat.

“Saya rasa untuk kejohanan ini, kita bermain pada satu tahap yang sama dengan Jordan. Daripada enam perlawanan sebelumnya yang kita lalui, kita menang dua kali, seri tiga kali dan kalah sekali.

“Jadi, berdasarkan keputusan-keputusan ini, kita telah beri gambaran tentang sasaran kita. Jadi, esok ialah satu hari yang bersejarah. Kita berharap dapat mengalahkan Jordan dan ya, Korea Selatan merupakan pasukan terkuat di peringkat kumpulan.

“Kita sudah tahu Jordan dan Bahrain memiliki kelebihan di tempat sendiri kerana mereka bermain di Timur Tengah. Tapi kita percaya kita boleh memberi cabaran hebat kepada mereka dan Korea Selatan,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini.

Malaysia bakal berdepan Jordan untuk aksi pertama Kumpulan E di Stadium Al Janoub pada awal pagi 16 Januari 2024.