Advertisements
AFC Asian Cup: Malaysia Tewas Aksi Pembukaan Berdepan Jordan
Asia
MakanBola
FA Malaysia

Malaysia memulakan aksi kumpulan E AFC Asian Cup dengan kekalahan di tangan pasukan di ranking ke-87 dunia, Jordan.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al Janoub, Jordan mendahului seawal minit kesebelas selepas tendangan lencong Mahmoud Al-Mardi berjaya menembusi gawang Malaysia yang dikawal Syihan Hazmi.

Bintang tumpuan Jordan, Musa Al Tamari menggandakan jaringan menerusi tendangan penalti selepas Video Assistant Referee (VAR) menunjukkan Matt Davies melakukan kekasaran ke atas Yazan Al Naimat di dalam kotak penalti.

Mahmoud yang juga bekas pemain Kedah itu terus menjadi duri dalam daging dengan jaringan kedua peribadinya yang juga jaringan ketiga buat Jordan pada minit ke-32.

Peluang terbaik Harimau Malaya hadir menerusi rembatan jarak jauh pemain tengah, Stuart Wilkin yang sedikit tersasar ke sisi tiang gol.

Separuh masa pertama berakhir, Malaysia 0-3 Jordan.

Kembali dari bilik persalinan, corak permainan Malaysia tampak lebih positif dengan pertukaran posisi oleh Kim Pan-gon dan kemasukan beberapa pemain seperti Safawi Rasid, Paulo Josue dan Shahrul Saad.

Beberapa percubaan merbahaya yang dicipta skuad negara hampir menerjah jaring gol lawan namun benteng pertahanan Jordan berjaya menafikan peluang tersebut.

Namun, Musa Al Taamari terus memanfaatkan kesilapan pertahanan negara dengan meledak jaringan keempat pasukan Jordan pada minit ke 85.

Perlawanan tamat, Malaysia 0-4 Jordan.

Skuad Harimau Malaya akan meneruskan aksi kumpulan berdepan Bahrain pada Sabtu, 20 Januari 2024 jam 10.30 malam waktu tempatan.

Manakala Jordan bakal menghadapi tentangan sengit jaguh Asia, Korea Selatan yang mudah menumbangkan Bahrain dalam perlawanan pertama.