Advertisements
AFC Asian Cup: Matthew Davies Mahu Malaysia Bangkit Daripada Kekecewaan
Harimau Malaya
MakanBola
FA Malaysia

Kapten skuad senior Malaysia, Matthew Davies mengakui kecewa selepas skuad negara tewas 1-0 kepada Bahrain semalam.

Aksi kedua Kumpulan E antara Malaysia dan Bahrain menyaksikan skuad negara memberi persembahan lebih mantap di Stadium Jassim bin Hamad semalam.

Bagaimanapun, gol saat akhir oleh Ali Madan meranapkan impian Harimau Malaya untuk sekurang-kurangnya mengutip satu mata dalam perlawanan tersebut.

Meskipun kecewa melihat Malaysia kecundang buat kali kedua dalam Kumpulan E, Davies mengakui tugasan Piala Asia bukan mudah untuk skuad negara.

Ini kerana ini penampilan pertama Malaysia di kejohanan berprestij itu secara merit sejak tahun 1980.

Pada masa sama, beliau percaya ada sisi positif yang boleh diambil daripada perlawanan semalam agar membantu Malaysia berhadapan Korea Selatan dalam aksi terakhir kumpulan nanti.

“Ya, ia mengecewakan seperti yang saya katakan. Ia mengecewakan tetapi datang ke sini (Piala Asia) buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun bukan sesuatu yang mudah.

“Kita tahu ini bukan sesuatu yang mudah. Ia mengecewakan buat pasukan kita tetapi ada perkara positif yang boleh diambil daripada perlawanan (menentang Bahrain).

“Harapnya kita dapat kekal positif dan beri persembahan yang lebih bagus (dalam aksi ketiga Kumpulan E),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas perlawanan semalam.

Malaysia bakal menutup kempen Kumpulan E dengan turun menentang Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari ini.