Salah satu media Korea telah mengkritik ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann selepas dua aksi peringkat kumpulan Piala Asia yang dihadapi oleh mereka.
Menurut media Sports Chosun, pendekatan yang digunakan oleh Klinsmann amat mengecewakan dan jelas berbeza dengan Paulo Bento ketika membimbing Korea Selatan di Piala Dunia Qatar yang lalu.
“Sangat mengecewakan. Kerana memberi tekanan dan build-up, yang merupakan dasar-dasar (bola sepak moden) tidak diterapkan, malah pemain terkuat sepanjang masa juga tidak berguna.”
“Sebab bekas jurulatih Paulo Bento menerima markah tinggi adalah kerana beliau meningkatkan tekanan dan build-up yang kita selama ini kekurangan di peringkat antarabangsa. Ini dibuktikan melalui Piala Dunia Qatar.”
Media itu juga mendedahkan secara statistik kelemahan-kelemahan skuad Korea Selatan kini di bawah bimbingan Jurgen Klinsmann menerusi pelbagai indikator.
“Pada Piala Dunia Qatar, Korea mencatatkan 36 percubaan dalam 4 perlawanan, atau 9 percubaan setiap perlawanan. Secara purata, ia menduduki tempat ke-3 daripada 32 negara. Di sisi lain, hanya terdapat 7 percubaan dalam Piala Asia ini.”
Tambah menarik, Sports Chosun juga mengkritik gaya permainan Korea Selatan kini hanya mengharapkan keupayaan sesetengah pemain sahaja berbanding gaya permainan sepasukan.
“Lee Kang-in dan Son Heung-min menduduki tempat pertama dan keempat dalam jumlah percubaan menggelecek keseluruhan dengan 20 dan 11 masing-masing. Ini juga dibuktikan dengan nombor bahawa serangan dilakukan dengan satu lawan satu yang mudah, dan bukannya hantaran tersusun (sepasukan).”
Korea Selatan yang kini memimpin carta kumpulan E bakal menghadapi skuad negara bagi aksi terakhir kumpulan pada Khamis yang dijadualkan berlangsung di Stadium Al Janoub.