Qatar terpaksa bekerja keras untuk menumbangkan Palestine dalam aksi pusingan 16 terbaik AFC Asian Cup.
Qatar yang turun berbekalkan sorakan padu ribuan peminat yang hadir ke Stadium Al Bayt mengawal permainan dengan baik dengan penguasaan bola berpihak kepada tuan rumah.
Namun, penyokong tuan rumah dikejutkan dengan jaringan pembukaan Palestine menerusi penyerang utama, Oday Dabbagh yang memanfaatkan kesilapan hantaran pertahanan Qatar pada minit ke-37.
Sebelum babak pertama berakhir, kapten Qatar, Hassan Al Haydos berjaya menyamakan kedudukan 1-1 sekaligus menceriakan para penyokong yang hadir menyaksikan aksi ini.
Bersambung separuh masa kedua, Qatar dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-49 dan mudah disempurnakan ayam tambatan mereka, Akram Afif untuk meletakkan skuad The Maroons di depan 2-1.
Palestine tidak patah semangat dan terus melancarkan serangan namun kecemerlangan penjaga gol Qatar, Meshaal Barsham berjaya menafikan setiap peluang tersebut.
Tiada jaringan tambahan dapat dijelmakan kedua-dua pasukan menyaksikan keputusan Qatar 2-1 Palestine kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.
Dengan keputusan ini, Qatar mara ke peringkat suku akhir dan dijadualkan berdepan pemenang di antara Uzbekistan atau Thailand pada 3 Februari nanti.