Qatar mengesahkan tempat ke pentas akhir Piala Asia 2023 selepas berjaya mencatat kemenangan bergaya atasi Iran.
Biarpun Iran membuka tirai jaringan terlebih dahulu seawal minit keempat permainan menerusi Sardar Azmoun, Qatar menerusi Jassem Gaber pantas menyamakan kedudukan dengan satu percubaan dari luar kotak penalti yang menerjah jaring.
Bintang sensasi Qatar, Akram Afif menggandakan jaringan buat Qatar pada minit ke-43 permainan. Gelecekan dan ketenangan Akram memastikan jaringan tersebut membawa Qatar mendahului aksi di babak pertama perlawanan dengan keputusan 2-1.
Bersambung aksi di separuh masa kedua, pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Iran selepas pertahanan Qatar dikesan bola terkena tangan. Alireza Jahanbakhsh kembali memberi sinar buat skuad kendalian Ardeshir Ghalehnov selepas jaringan itu kemudiannya seolah memberi suntikan semangat buat Iran.
Iran terus mengganas menekan pasukan Qatar demi mencari jaringan tambahan.
Bagaimanapun percaturan pengendali Qatar, Marquez Lopez yang memasukkan AlMoez Ali membuahkan hasil apabila penyerang berusia 27 tahun itu mencatat nama sebagai penjaring. Rembatan Almoez memastikan malam gemilang di Stadium Al-Thumamma menjadi milik Qatar.
Sebelum wisel penamat ditiupkan pengadil, Iran miliki peluang keemasan untuk menyamakan kedudukan, malangnya percubaan Alireza Jahanbakhsh terkena tiang.
Qatar bakal berdepan Jordan untuk aksi final Piala Asia 2023 pada 12 Februari 2024.