Thailand berpeluang untuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia tidak lama lagi.
Ini selepas kejayaan Thailand mengikat pasukan di ranking ke-75 dunia, Oman dalam aksi kedua kumpulan F AFC Asian Cup kelmarin.
Menurut perkongsian Footy Rankings di laman X, skuad bimbingan Masatada Ishii itu telah memperoleh tambahan mata sebanyak 3.89 hasil keputusan seri semalam.
Ini sekaligus membantu Thailand melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ke-102 dunia berbanding kedudukan ke-105 sebelum ini.
Dengan pencapaian ini, Thailand berjaya memintas Kyrgyzstan yang jatuh ke tangga ke-104 selepas tewas dalam dua aksi awal kumpulan termasuk kepada Thailand.
Pada aksi semalam, skuad Gajah Perang cemerlang mengikat Oman 0-0 dalam satu perlawanan yang cukup mendebarkan.
Thailand akan turun berdepan salah satu jaguh Asia, Arab Saudi dalam aksi terakhir kumpulan yang dijadualkan berlangsung di Stadium Education City pada Khamis.
Sekiranya Thailand berjaya menewaskan Arab Saudi pada aksi tersebut, Thailand bakal memperoleh tambahan 25.25 mata dan berpeluang melonjak ke tangga ke-97 dunia.
Kedudukan ini akan memintas kedudukan Vietnam selaku pasukan nombor 1 Asia Tenggara.