Saingan Kumpulan C pentas Piala Asia 2023 hari ini melibatkan pertembungan antara pasukan UAE dan Palestin. Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Janoub menyaksikan UAE dan Palestin sekadar mencatat keputusan seri dan berkongsi satu mata.
Babak separuh masa pertama tamat dengan pasukan UAE mendahului perlawanan dengan kelebihan satu gol.
Pada minit ke-23 permainan, pemain muda UAE, Sultan Adil menyempurnakan hantaran lintang daripada Ali Saleh dengan satu tandukan. Jaringan daripada penyerang berusia 19 tahun itu telah meletakkan skuad kendalian Paulo Bento dihadapan.
Sebelum aksi separuh masa pertama tamat, pengadil perlawanan telah menghadiahkan sepakan penalti buat Palestin selepas pertahanan UAE, Khalifa Mubarak dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran.
Bagaimanapun penyerang Palestin, Tamer Sayam gagal menyempurnakan sepakan tersebut apabila penjaga gol UAE, Khalid Eisa bertindak cemerlang menepis keluar bola tersebut. Separuh masa pertama tamat, UAE 1-0 Palestin.
Bersambung aksi di babak kedua, kelebihan 11 pemain yang dimiliki Palestin telah dimanfaatkan sepenuhnya anak buah Makram Daboub.
Pada minit ke-50 permainan, kesilapan pertahanan UAE, Badr Nasser membawa padah. Hantaran lintang daripada Tamer Sayam telah ditanduk Badr Nasser ke gawang sendiri sekaligus mencipta jaringan penyamaan buat Palestin.
Selepas jaringan itu terhasil, Palestin terus menerus menekan barisan pertahanan UAE apabila melancarkan serangan daripada segenap sudut. Bagaimanapun Palestin terpaksa akur dengan kekentalan barisan UAE yang disiplin hingga wisel penamat dibunyikan.
Sepuluh minit masa tambahan tidak mengubah keputusan perlawanan, UAE 1-1 Palestin.
Aksi seterusnya menyaksikan UAE bakal berdepan cabaran pasukan Ian untuk aksi terakhir peringkat kumpulan pada Selasa, 23 Januari 2024 sementara Palestin akan menentang pasukan Hong Kong.