Menjelang aksi Kumpulan E membabitkan Bahrain dan Korea Selatan yang bakal berlangsung dalam beberapa jam lagi, cabaran besar menanti anak buah Juan Antonio Pizzi.
Ini kerana Korea Selatan bukan saja berstatus pasukan ketiga terbaik Asia dengan ranking ke-23 dunia.
Malah, Pahlawan Taeguk yang dibimbing Jurgen Klinsmann itu bukan sekali mengecewakan Al-Ahmar dalam saingan Piala Asia.
Daripada tiga rekod pertemuan di Piala Asia menurut Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), dua daripadanya dimenangi Korea Selatan.
Ini termasuk aksi pusingan 16 pasukan terbaik pada 2019 di mana Pahlawan Taeguk menyingkirkan Bahrain pada masa tambahan menerusi gol Kim Jin-su.
Selain rekod pertemuan, Korea Selatan juga memiliki rekod tanpa bolos sebanyak enam perlawanan dalam Piala Asia. Rekod ini hanya diatasi oleh pasukan kedua terbaik Asia, Iran dengan lapan perlawanan.
Pahlawan Taeguk juga memiliki rekod tanpa kalah dari segi aksi pembukaan. Kali terakhir Korea Selatan tewas dalam aksi pembukaan kumpulan Piala Asia ialah pada 1964 bila mereka tewas kepada India.
Situasi Bahrain tidak dibantu dengan rekod buruk mereka dari segi aksi pembukaan Piala Asia. Daripada enam penyertaan mereka di Piala Asia, mereka seri tiga kali dan kalah tiga kali dalam aksi pembukaan kumpulan.
Ini termasuk kalah kepada Korea Selatan dalam aksi pembukaan kumpulan Piala Asia 2011. Koo Ja-cheol membantu Pahlawan Taeguk membenam Al-Ahmar 2-1 menerusi gol pada minit ke-41 dan 56.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu untuk aksi pembukaan Kumpulan E di Stadium Jassim bin Hamad pada jam 7.30 malam ini.