Advertisement
AFC Asian Cup: Ultras Malaya ‘Kuasai’ Qatar
Asia
MakanBola
Azri/Makanbola/Syedhafiz

Penyokong skuad kebangsaan Malaysia, Ultras Malaya sudah mula membanjiri Qatar untuk memberi sokongan kepada Harimau Malaya melayari kempen Piala Asia 2023.

Dalam satu video hantaran di laman X milik salah seorang penyokong Malaysia iaitu Syedhafiz, terpapar para penyokong Malaysia berkumpul di Souq al Waqif dan menyanyikan lagu ‘Inilah Barisan Kita’ sambil diiringi paluan kompang.

Nyanyian Ultras Malaya itu turut menarik perhatian orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut malah terdapat juga beberapa individu yang merakam nyanyian Ultras Malaya.

“Keadaan semasa di Souq al Waqif #inilahbarisankita,” coret Syehdhafiz ringkas di laman X.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata penyokong tidak sabar untuk mendengar nyanyian Ultras Malaya dalam perlawanan menentang Jordan awal pagi esok.

Malaysia dijadualkan menentang Jordan pada awal pagi esok untuk aksi pertama di Stadium Al Janoub. Pada aksi kedua, Malaysia bakal berdepan Bahrain pada 20 Januari sebelum mengakhiri aksi kumpulan menentang Korea Selatan pada 25 Januari.

Tempat pertama dan tempat kedua secara automatik akan layak ke pusingan 16 terakhir manakala empat pasukan terbaik di tempat ketiga peringkat kumpulan akan turut mara ke pusingan 16 terakhir.