Uzbekistan terpaksa berpuas hati selepas terikat seri ketika menentang Syria dalam aksi pertama kumpulan B AFC Asian Cup.
Syria yang turun dengan jersi serba merah bermula garang dengan beberapa siri gerakan awal yang direncana tonggak baharu JDT, Jalil Elias bagi menembusi gawang Uzbekistan.
Uzbekistan yang kini berada di ranking ke-68 dunia juga mula mengatur gerak bagi memburu jaringan pertama perlawanan namun dikecewakan barisan anak-anak buah Hector Cooper.
Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Kembali dari rehat, Uzbekistan memperkemas corak permainan mereka dengan membawa masuk beberapa pemain dari bangku simpanan termasuklah penyerang BG Pathum, Igor Sergeev.
Ibrahim Hesar hampir meletakkan Syria di depan selepas beliau berjaya menyambar hantaran lintang Mouaian Al Ajaan namun jaringannya itu dibatalkan kerana beliau berada dalam keadaan ofsaid.
Ketumpulan barisan serangan kedua-dua pasukan menyaksikan tiada jaringan dapat dihasilkan sekaligus menamatkan permainan dengan keputusan 0-0.
Dengan keputusan ini, Uzbekistan dan Syria berada di tangga kedua dan ketiga kumpulan B dengan 1 mata setelah satu lagi perlawanan membabitkan India dan Australia menyaksikan India tumbang di tangan Australia.
Aksi kumpulan B seterusnya menyaksikan Uzbekistan akan berdepan India yang tewas di aksi pertama manakala Syria bakal berhadapan cabaran getir menentang Australia.