AFC Cup: Central Coast Mariners Muncul Juara, Tundukkan Al-Ahed
MakanBola
AFC Cup
Sponsors

Kelab A-League, Central Coast Mariners muncul juara Piala AFC musim 2023/24 selepas mengatasi tentangan kelab Lubnan, Al-Ahed di pentas final hari ini.

Final Piala AFC edisi 2023/24 di Kompleks Sukan Sultan Qaboos dianggap istimewa buat The Mariners dan The Yellow Castle kerana ini merupakan kali terakhir kejohanan ini akan diadakan.

Ad

Piala AFC akan digantikan dengan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL) bermula pada musim 2024/25. Lantas, ini memberi insentif kepada kedua-dua pasukan untuk memburu kejuaraan.

Ad

Babak pertama menyaksikan CCM dan Al-Ahed saling bersaing dalam mendapatkan kelebihan gol awal.

CCM nyaris ketinggalan pada minit ke-25 apabila bekas penyerang Leeds United, Lee Erwin melakukan tandukan ke arah gol tetapi ditepis penjaga gol, Danny Vukovic.

Ad

Tiga minit kemudian, giliran kelab Australia itu mengancam menerusi hantaran cantik Jacob Farrell. Malangnya, Miguel Di Pizio dan Ryan Edmondson gagal menyudahkan peluang berkenaan.

Ad

Al-Ahed terus memberi tekanan menerusi Erwin tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.

Ad

Bersambung pada babak kedua, CCM terus menggandakan asakan untuk memburu gol kemenangan.

Melihat pasukannya masih buntu mendapatkan jaringan, jurulatih The Mariners, Mark Jackson membuat beberapa pertukaran pemain untuk menambah sengat di bahagian serangan.

Malangnya, barisan pertahanan The Yellow Castle diketuai Khalil Khamis kental menyerap tekanan yang dikenakan kelab Australia itu.

Tatkala penyokong kedua-dua pasukan menyangka perlawanan akan diheret ke masa tambahan, Alou Kuol muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit ke-83.

Gol tersebut sudah cukup memastikan CCM menjadi kelab A-League pertama bergelar juara dan juara edisi terakhir kejohanan.

Farrell dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 7.6, 0.1 mata di hadapan Di Pizio. Sementara Mikael Doka pula dipilih Pemain Paling Bernilai (MVP) Piala AFC.