Kelab Kemboja, Phnom Penh Crown mencipta kejutan dengan mengalahkan kelab Singapore Premier League (SPL), Tampines Rovers 3-2 dalam aksi play-off Piala AFC 2023-2024.
Berbekalkan kelebihan sebagai pasukan tuan rumah, The Stags membuka tirai jaringan menerusi Boris Kopitovic pada minit ke-10. Red Singha cuba bangkit tetapi mereka terus ketinggalan apabila Kopitovic menyumbat gol kedua pada minit ke-26.
Tidak mahu ketinggalan jauh, Phnom Penh Crown berjaya merapatkan jurang menerusi Yudai Ogawa pada minit ke-44.
Bersambung pada babak kedua, Red Singha kembali bersemangat memburu gol. Dan dalam tempoh seminit, Phnom Penh Crown pula mendahului menerusi Andres Nieto (minit ke-52) dan Shintaro Shimizu (minit ke-53).
Tersentak, tuan rumah berusaha memburu gol penyamaan. Bagaimanapun, pertahanan pelawat mempertahankan kelebihan yang dimiliki sehingga tamat perlawanan.
Dengan keputusan ini, Phnom Penh Crown layak ke peringkat kumpulan Piala AFC buat kali ketiga dalam sejarah kelab mereka.
Bagi Tampines Rovers pula, kini fokus mereka ialah mengekalkan tempat ketiga yang diraih dalam SPL musim lepas. Perlawanan terakhir mereka ialah menentang Balestier Khalsa dalam aksi terakhir SPL pada 15 September ini.