AFC Denda Ridzwan Bakri, Terlepas Aksi Di Piala Asia Futsal
UltraSukan
FA Malaysia

Pemain futsal Malaysia, Ridzwan Bakri bakal terlepas tiga aksi peringkat kumpulan Piala Asia Futsal 2026.

Ini kerana beliau dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan dan denda sebanyak AS$5,000 (RM20,000) oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Ini susulan insiden beliau dilayangkan kad merah dalam aksi Sukan SEA 2025 antara Malaysia dan Myanmar pada Disember lalu.

Jawatankuasa Tatatertib AFC mendapati Ridzwan didapati bersalah atas kesalahan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai perlawanan dalam aksi tersebut.

Susulan itu, Ridzwan bukan saja terlepas aksi skuad negara menentang Indonesia dalam temasya berkenaan.

Malah, jurulatih skuad futsal negara, Addie Azwan Zainal terpaksa melupakan khidmatnya untuk semua aksi Kumpulan D Piala Asia Futsal.

Ridzwan hanya boleh beraksi di peringkat suku akhir sekiranya Malaysia berjaya mara ke peringkat berkenaan.

Malaysia akan membuka kempen Kumpulan D dengan menentang pasukan nombor satu Asia, Iran pada 28 Januari ini.