Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengumumkan pengenalan empat kejohanan kelab baru peringkat benua Asia untuk musim 2024/25.
Empat kejohanan itu ialah Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE), Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Liga Cabaran AFC (ACGL) dan Liga Juara-Juara Wanita AFC (AWCL).
Logo empat kejohanan baru itu diperkenalkan selepas tamat Kongres AFC Ke-34 yang berlangsung di Bangkok, Thailand hari ini.
Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa menyifatkan empat kejohanan baru ini bukan saja bakal meletakkan nama Asia di pentas antarabangsa.
Malah, empat kejohanan ini berpotensi menjadi yang terbaik di pentas global untuk jangka masa panjang.
“Sejarah bola sepak Asia kaya dan unik, disokong oleh berjuta-juta peminat yang bersemangat, dan penuh dengan kemungkinan dan potensi yang tiada had – yang telah dibawa ke dalam jenama baru yang akan memberi nyawa baru kepada pertandingan.
“Pembaharuan mercu tanda ini mengukuhkan cita-cita AFC melalui visi dan misinya untuk mengadakan pertandingan bertaraf dunia untuk anggota konfederasinya, dan kami menantikan aksi yang mendebarkan dan kemunculan bakat menarik yang akan ditampilkan musim depan,” katanya.
ACLE bakal menampilkan 24 pasukan teratas Asia termasuk wakil Malaysia, Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC). Sementara Selangor FC menjadi sebahagian daripada 32 pasukan yang bersaing dalam ACL2.
Manakala 20 pasukan lagi dijangka bersaing dalam saingan ACGL.