Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa memuji kemajuan bola sepak Malaysia sejak kebelakangan ini.
Perkara itu dizahirkan beliau dalam sesi pertemuan dengan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Ayub di AFC House pada 10 April lalu.
Shaikh Salman bukan saja mengucapkan tahniah kepada Joehari selepas dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu.
Malah, beliau turut memuji permulaan baik skuad Harimau Malaya dalam aksi pertama pusingan kelayakan Piala Asia 2027. Skuad negara menewaskan Nepal 2-0 pada 25 Mac lalu.
Shaikh Salman menghargai hubungan rapat yang terjalin antara AFC dan Malaysia sejak sekian lama.
Beliau juga berharap semua inisiatif yang diperkenalkan AFC terus dimanfaatkan FAM untuk membawa bola sepak negara lebih ke hadapan.
“Sejarah AFC dan bola sepak Malaysia saling berkait dan AFC akan sentiasa memandang tinggi pemimpin bijaksana dari Malaysia dahulu dan sekarang serta kami amat menghargai sumbangan mereka yang tidak ternilai kepada permainan Asia,” katanya.
“Kami menghargai hubungan rapat kami dengan FAM dan kami mahu mereka terus memanfaatkan pelbagai kelebihan yang ditawarkan oleh AFC melalui pembiayaan pembangunan dan program-program penting.”
Sesi pertemuan itu turut disertai Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Tan Sri Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin dan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John.
Joehari pula diiringi dua Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S. Sivasundaram.