Advertisements
AFC ‘Tak Layan’ Aduan Indonesia
Asia Tenggara
MakanBola
AFC

Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dilaporkan telah menolak aduan atau protes daripada Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) di atas mutu pengadilan yang dianggap kurang baik pada Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Bahrain tempoh hari.

Perkara tersebut telah disahkan oleh pengurus pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia, Sumardji baru-baru ini. Aduan yang dibuat PSSI itu bukan sahaja dihantar ke AFC malah ianya juga dihantar ke FIFA.

“Baru jam 12 tengah hari ini, saya mendapat surat balas berkaitan protes yang kita hantarkan ke AFC. AFC menyatakan protes kita tidak diterima, dan untuk lebih jelasnya kami diminta untuk mengirim aduan itu ke FIFA

“Sebenarnya ke FIFA kami juga sudah kirim, jawapannya ialah kami diminta mengirim surat ke AFC, ini agak aneh,” jelas Sumardji seperti dipetik futboll.indonesiaa.

Indonesia mengalami situasi pengadilan yang mereka anggap kurang baik apabila pengadil dari Oman, Ahmed Al Kaf telah lewat menamatkan perlawanan daripad yang sepatutnya.

Mana tidaknya, Indonesia hampir meraih kemenangan pertama dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 selepas mendahului Bahrain 2-1 sehingga hampir tamat perlawanan.

Pengadil keempat sudah memberi isyarat 6 minit masa tambahan namun Al Kaf hanya menamatkan perlawanan 12 minit selepas itu dan Bahrain berjaya meledak jaringan penyamaan untuk menidakkan kemenangan Indonesia.