Hasrat Australia untuk menyambar kemenangan pertama dalam saingan Piala Asia Bawah 23 Tahun tidak kesampaian apabila diikat oleh Jordan pada aksi sulung kejohanan itu sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan menurunkan barisan terkuat dalam usaha mereka meraih kemenangan pertama. Australia mempertaruhkan penyerang berbisa Central Coast Mariners, Alou Kuol bagi merobek gawang Jordan.
Perlawanan dimulakan dengan Australia dilihat lebih selesa dengan penguasaan bola sekali gus memaksa barisan pemain Jordan fokus untuk bertahan.
Beberapa percubaan telah dilepaskan oleh pemain Australia untuk menguji ketangkasan penjaga gol Jordan, Ahmad Al-Juaidi.
Penguasaan Australia itu berterusan untuk tempoh 20 minit pertama sebelum Jordan berjaya mendapatkan rentak permainan mereka dan mula menguasai perlawanan.
Jordan yang kurang menyerang hampir mengejutkan Australia melalui percubaan Mohannad Abu Taha pada minit-43 namun ketangkasan penjaga gol Australia berjaya menafikan jaringan Jordan.
Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, suhu perlawanan semakin tinggi dengan kedua-dua pasukan juga mempamerkan corak permainan yang pantas.
Pemain gantian Jordan, Baker Kamel Kalbouneh berpeluang mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-53 namun rembatan deras beliau berjaya ditepis dengan cemerlang oleh penjaga gawang Australia.
Jordan menerima tamparan hebat apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas kapten pasukan, Danial Alfaneh diperintahkan keluar kerana mengutip kad kuning kedua.
Kesempatan beraksi dengan lebih seorang pemain juga gagal dimanfaatkan Australia dengan sebaiknya sekali gus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Keputusan seri ini membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata. Bagi perlawanan seterusnya, Australia bakal berdepan Indonesia pada 18 April manakala Jordan pula bakal berdepan tuan rumah, Qatar pada hari yang sama.