AFC U-23 Asian Cup: ‘Drama’ Penalti & Kad Merah Buat Malaysia Kecewa Di Tangan Kuwait
Asia
FA Malaysia
Advertisements

Malaysia terpaksa akur menelan kepahitan tewas dalam aksi terakhir peringkat kumpulan AFC U-23 Asian Cup kepada Kuwait.

Juan Torres Garrido melakukan beberapa rombakan dengan nama-nama seperti Sikh Izhan, Aiman Yusni dan Daryl Sham antara yang diberi peluang untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan.

Malaysia bermula baik dengan beberapa gerakan cantik menerusi gandingan Haqimi Azim dan Fergus Tierney di bahagian hadapan yang membuatkan penjaga gol Kuwait, Abdul Rahman Al Fadhli tidak senang duduk.

Advertisements

Aksi penuh drama bermula apabila penjaga gol negara, Sikh Izhan dilayangkan kad merah pada minit ke-44 setelah pemain berusia 21 tahun itu dipersalahkan ketika perebutan bola di udara di luar kotak penalti.

Kad merah tersebut jelas menaikkan semangat pasukan lawan untuk melancarkan serangan dan hasilnya, Kuwait dihadiahkan sepakan penalti pada masa tambahan setelah Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan Umar Hakeem melakukan kekasaran ke atas pemain lawan.

Kapten Kuwait, Salman Al Awadhi dengan tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut menewaskan penjaga gol gantian negara, Firdaus Irman sekaligus menamatkan aksi di separuh masa pertama dengan keputusan 1-0 memihak Kuwait.

Advertisements

Bersambung babak kedua, Malaysia yang tempang dengan 10 orang pemain berusaha keras untuk mencari jalan bagi membolosi gawang Kuwait bagi mengikat kembali kedudukan.

Namun, ketika skuad negara rancak menyerang, Kuwait mengambil kesempatan dengan melakukan serangan balas pantas yang disudahkan menerusi tandukan deras Talal Al Qaisi pada minit ke-60.

Tiga minit kemudian, Haqimi Azim berjaya merapatkan kedudukan hasil satu rembatan kencang yang sekadar diperhatikan oleh Abdul Rahman Al Fadhli di pintu gol Kuwait setelah menerima hantaran jauh daripada Nooa Laine.

Advertisements

Pada minit ke-83, giliran Kuwait pula beraksi dengan 10 orang pemain apabila pengadil perlawanan, Alexander King turut melayangkan kad merah kepada kapten Kuwait, Salman Al Awadhi kerana mengasari Umar Hakeem.

Skuad muda kebangsaan dengan pantas melancarkan serangan ke kubu Kuwait bagi memburu jaringan penyamaan namun malang, tiada jaringan dapat dijelmakan oleh barisan pemain negara sehingga tamat perlawanan.

Perlawanan di Stadium Al Janoub berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Kuwait.

Advertisements

Keputusan ini menyaksikan skuad muda negara mengakhiri kempen Piala Asia B-23 di tangga keempat kumpulan D tanpa sebarang mata manakala Kuwait pula mengutip tiga mata untuk berada di tempat ketiga kumpulan.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram