Advertisement
AFC Umum Tarikh Rasmi Piala Asia 2027
Asia
MakanBola
AFC

Tarikh rasmi saingan Piala Asia 2027 di Arab Saudi akhirnya didedahkan.

Kejohanan berprestij di Asia itu bakal diadakan pada 7 Januari 2027 hingga 5 Februari 2027. Perkara ini didedahkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Penganjuran Piala Asia (OCAC) AFC baru-baru ini.

Selain tarikh penganjuran kejohanan, lima stadium turut dipilih sebagai venue rasmi Piala Asia 2027.

Lima stadium tersebut ialah Stadium Bandar Sukan Raja Fahd, Stadium Universiti Raja Fahd, Stadium Universiti Imam Mohammed Ibn Saud, Kingdom Arena dan Stadium Al-Shabab.

Presiden Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al-Misehal melihat pengesahan tarikh dan pemilihan stadium sebagai satu detik penting dalam usaha mereka menganjurkan Piala Asia 2027.

“Pengesahan tarikh dan pemilihan stadium Piala Asia 2027 dilihat satu penanda aras strategik dalam perjalanan kita untuk menjadi tuan rumah kejohanan,” katanya dalam satu kenyataan.

“Pengumuman ini melangkaui langkah mengenal pasti lokasi dan tarikh tetapi menunjukkan kerjasama tahap tinggi yang berterusan antara kita dengan AFC tatkala kita bekerja keras menganjurkan kejohanan hebat yang memenuhi aspirasi seluruh benua Asia.”

18 pasukan termasuk tuan rumah, Arab Saudi sah layak ke Piala Asia 2027. Baki enam slot lagi kini menjadi rebutan dalam pusingan ketiga kelayakan kejohanan.

Pusingan ketiga kelayakan bakal membuka tirainya pada Mac 2025. Hanya juara kumpulan daripada enam kumpulan kelayakan saja yang layak ke pusingan akhir Piala Asia 2027.