Advertisement
AFF Women’s Cup: Malaysia Tewas Tipis Di Tangan Indonesia
UltraSukan
UltraSukan
FA Malaysia

Malaysia membuka kempen AFF Women’s Cup 2024 dengan langkah kiri setelah tumpas di tangan Indonesia pada Selasa.

Skuad negara kendalian Soleen Al Zoubi turun dengan misi penting mengutip 3 mata menentang Indonesia yang diikat seri tanpa jaringan oleh Kemboja dalam aksi pertama Sabtu lalu.

Penjaga gawang Sabah, Nurul Azurin Mazlan diberi peranan penting bagi mengawal pintu gol negara manakala Indonesia diperkuat pemain kacukan Amerika Syarikat, Sydney Hopper.

Aksi berlangsung seimbang dengan Indonesia dilihat lebih menguasai permainan dengan hantaran pendek manakala Malaysia lebih gemar menyerang balas pantas di bahagian sayap.

Peluang terbaik buat Indonesia hadir menerusi percubaan kaki kiri Sheva Imut dari bahagian kanan namun rembatan tersebut ditepis oleh Azurin Mazlan di pertengahan aksi.

Sementara Malayan Tigress hampir membuka tirai jaringan menerusi sepakan sudut Ainsyah Murad dan Hadfina Firdaus sebelum diselamatkan oleh penjaga gawang Indonesia, Laita.

Separuh masa pertama tamat, Malaysia 0-0 Indonesia.

Kembali dari bilik persalinan, kedua-dua pasukan tetap buntu mencari jaringan pertama perlawanan dengan Indonesia dan Malaysia masing-masing mempersiakan peluang terhidang.

Jaringan yang dicari akhirnya tiba buat Indonesia menerusi pemain kacukan Jerman, Claudia Scheunemann pada minit ke-79 yang bijak menewaskan Azurin di pintu gol negara.

Aksi di Stadium KM16, Vientiane, Laos berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Indonesia.

Skuad wanita negara bakal berdepan Kemboja dalam aksi terakhir kumpulan pada Jumaat, jam 4 petang sementara Indonesia sudah menempah tiket ke separuh akhir dengan 4 mata.