Dua bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Afiq Fazail dan Safiq Rahim bakal mencipta rekod baru jika mereka beraksi di pentas final Unifi Piala Malaysia 2024/25.
JDT yang juga juara bertahan bakal berentap dengan bekas juara edisi 2014, Sri Pahang FC di pentas final pada 26 April.
Seandainya Afiq dipilih Hector Bidoglio dalam kesebelasan utama menentang Tok Gajah, beliau bakal merekodkan penampilan final Unifi Piala Malaysia yang keenam.
Ini kerana pemain tengah berusia 30 tahun itu telah beraksi di final sebanyak lima kali iaitu edisi 2017, 2019, 2021, 2022 dan 2023.
Safiq pula berpeluang merekodkan penampilan ke-54 dalam Unifi Piala Malaysia sekiranya beraksi menentang Sri Pahang.
Ini sekaligus menjadikan rekod penampilan terbanyak beliau dalam kejohanan itu sukar dicabar oleh mana-mana pemain selepas ini.
Safiq dan Izham Tarmizi Roslan juga menjadi pemain skuad JDT yang pernah menentang Sri Pahang dalam final edisi 2014 yang masih bersama pasukan itu.