Pemain tengah Kuching City FC, Ahmad Israiwah menggesa pasukan lamanya, PDRM FC agar melangsaikan hutang tunggakan gaji beliau selama enam bulan.
Pendedahan tunggakan tersebut dibuat pemain tengah Jordan itu menerusi satu hantaran di Instagram Story. Israiwah memaklumkan selepas menyertai PDRM pada musim lalu, beliau beraksi selama enam bulan tanpa gaji.
Situasi itu yang kemudiannya mendorong pemain tengah berusia 32 tahun itu berhijrah menyertai Kuching City dalam tetingkap kedua perpindahan musim 2025/26.
“Tiba di Malaysia dari Jordan musim lalu dan menandatangani kontrak profesional 12 bulan bersama PDRM FC. Sebelum saya meninggalkan pasukan untuk menyertai Kuching City, saya beraksi untuk PDRM selama enam bulan tanpa mendapat gaji,” katanya.
Israiwah kemudiannya tampil menuntut pengurusan kelab itu menyelesaikan tunggakan gaji beliau selepas laporan media menyatakan The Cops telah berkubur.
Meskipun begitu, usahanya untuk menghubungi pengurusan PDRM berhubung isu tunggakan berkenaan gagal membuahkan hasil. Lantas, Israiwah memberi tempoh 24 jam kepada pengurusan pasukan itu menjawab isu tersebut.
Jika pengurusan The Cops masih enggan berbuat demikian, maka bekas pemain Al-Wehdat itu bersedia berkongsi pengalaman pahit beliau secara dalam talian.
“Jika saya tidak menerima sebarang maklum balas dalam tempoh 24 jam selepas siaran ini, saya akan bersiaran langsung dalam talian untuk berkongsi pengalaman saya dan menjelaskan apa yang saya lalui di PDRM.

“Ini merupakan pengalaman paling sukar dalam kerjaya bola sepak profesional saya dan saya amat berharap perkara ini dapat diselesaikan secara adil dan profesional,” tambahnya.
Israiwah turut berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk berhubung dengan pengurusan kelab dan menyelesaikan semua hutang sebelum kelab itu menamatkan operasi.