Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak melihat keseimbangan pasukan yang dimilikinya sebagai kunci kejayaan mereka untuk musim 2024/25.
Selepas menamatkan musim di tempat ke-13 pada musim 2023, The Cats bangkit dengan menduduki tempat keempat untuk musim 2024/25.
Kedudukan tersebut membolehkan Kuching City mengiringi Sabah FC untuk layak secara merit ke saingan Shopee Cup pada musim hadapan.
Apabila ditanya tentang resepi kejayaan pasukan itu, Aidil memaklumkan keseimbangan barisan pemain yang dipilih menjadi kunci utama.
Beliau bukan saja bijak menggabungkan barisan pemain muda dan berpengalaman. Malah, Aidil turut memanfaatkan pasaran pinjaman untuk mendapatkan duo Johor Darul Ta’zim (JDT), Danial Amier Norhisham dan Ramadhan Saifullah.
“Saya cuba seimbangkan dengan membawa masuk pemain berpengalaman, pemain import dan pemain-pemain pinjaman JDT untuk menjadikan pasukan ini lebih baik. Saya fikir kita menjadi lebih bagus,” katanya selepas tamat majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2024-2025 (ABK24-25).
“Kita boleh lihat pada pusingan pertama, kita tak banyak mengutip mata. Tetapi pada pusingan kedua, kita ubah selepas mendapat sumber (pemain) baharu.
“Saya fikir pasukan menjadi lebih bagus selepas itu dan itu kunci utama kita berjaya mendapat tempat keempat pada musim ini.”
ABK24-25 menyaksikan Kuching City meraih satu anugerah menerusi Aidil Sharin sebagai Jurulatih Terbaik.
Pemain pertahanan The Cats, Jimmy Raymond terpilih sebagai sebahagian daripada kesebelasan pilihan peminat.