Pengendali Kuching City FC, Aidil Sharin Sahak percaya pasukan itu mampu bangkit semula selepas tersingkir dari Piala FA 2024.
Aksi suku akhir kedua Piala FA 2024 menyaksikan Kuching City memberi tentangan sengit kepada naib juara liga musim 2023, Selangor.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4 dari segi agregat, The Cats terpaksa menelan kepahitan apabila tersingkir menerusi penentuan sepakan penalti.
Meskipun mengakui kecewa tidak dapat mara lebih jauh dalam saingan Piala FA 2024, Aidil melihat kekalahan itu tidak mematahkan semangat anak buahnya.
Dan bekas pengendali Persikabo itu percaya PDRM dilihat medan terbaik buat anak buahnya untuk bangkit dan meraih kemenangan.
“Ya, saya fikir sudah tentu kita kecewa (dengan keputusan perlawanan suku akhir Piala FA 2024). Tapi kita sekarang lebih positif. Selepas perlawanan, kita pulih sebagai satu pasukan dan kita juga bercakap tentang kekal positif.
“Jadi, saya fikir pengajarannya ialah kita tidak perlu bimbang. Perlawanan menentang PDRM ialah satu lagi peluang untuk menunjukkan persembahan yang bagus dan sudah tentu keputusan yang bagus,” katanya dalam temu bual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena.
Sentimen Aidil turut dipersetujui penyerang kebangsaan, Nur Shamie Iszuan Amin. Penyerang berusia 28 tahun itu mengakui kecewa apabila tewas dalam perlawanan itu.
Pada masa sama, Shamie melihat Kuching City masih berada pada landasan baik untuk meraih kemenangan pertama dalam liga.
“Kita masih di landasan yang baik. Sebab dalam liga pun, kita belum kalah lagi. Kalah pun sekali (dengan Sabah). Tetapi kita pun nakkan kemenangan di gelanggang sendiri.
“Sebab mood pemain-pemain pun baik sebab perlawanan hari itu pun menentang Selangor bukan pasukan yang biasa. Tapi kita boleh memberi tentangan kepada Selangor dan kita bermain dengan baik,” ujarnya.
Kuching City bakal membuka tirai perlawanan minggu kelima liga dengan menentang PDRM FC pada 12 Julai ini di Stadium Negeri, Kuching.